Thursday, 8 December 2011

GAMBAR ANIMASI HIBURAN UNTUK KANAK-KANAK

Permainan Kreatif untuk Mencerdaskan Anak

Kad Imbasan Tahun Satu

LAGU SUKU KATA

CONTOH KARANGAN JENIS CERITA


Isi Kandungan:
1)   Melawat Ladang Ternakan Lembu
2)  Rumah Baharu Sofia
3)  Hari Pertama ke sekolah
4)  Gotong-royong
5)  Lawatan ke rumah Orang-orang Tua
6)  Melawat Rakan di Hospital
7)  Menolong Jiran
8)  Kebersihan Tempat Tinggal
9)  Keracunan Makanan
10)Hari Ibu
11)Hari Guru
12) Majlis Hari Jadi
13) Hari Kebangsaan
14) Pengalaman di Pasar Malam
15) Berkelah di Teluk Batik

KARANGAN JENIS CERITA

1. Melawat Ladang Ternakan Lembu
Pada hari Sabtu yang lalu, saya dan rakan-rakan telah melawat ke ladang ternakan lembu milik Pak Din. Ladang ternakan lembu tersebut agak luas.
        Selain membela lembu, Pak Din juga membela kambing. Haiwan ternakan itu dibiarkan bebas meragut rumput di padang yang luas.
        Semasa berada di ladang ternakan itu, kami melihat lembu dan kambing Pak Din gemuk-gemuk belaka. Ladang ternakan Pak Din begitu bersih kerana dijaga dengan rapi oleh dua orang pembantunya.
        Walaupun berasa sunnguh penat, kami berasa amat gembira kerana  telah mendapat sebuah pengalaman  baharu.

Soalan:

1. Selain lembu,apakah binatang lain yang dibela oleh Pak Din?
2. Bagaimanakah keadaan ladang ternakan Pak Din?
3. Pak Din mempunyai berapa orang pembantu?


2.Rumah Baharu Sofia
       
Ayah Sofia telah membeli sebuah rumah banglo baru. Rumah baru Sofia terletak di Taman Pokok Sena. Rumah itu ialah rumah banglo dua tingkat. Rumah itu berharga RM 430 000.
        Pada hari Sabtu yang lalu, Sofia sekeluarga telah berpindah ke rumah banglo itu. Rumah itu besar dan cantik. Rumah itu mempunyai empat buah bilik tidur, sebuah dapur, dan ruang tamu yang besar. Halaman rumahnya juga luas.
        Ibu Sofia telah menghias rumah baharu itu dengan kemas sekali. Di luar rumah, ibunya telah menanam bermacam-macam jenis pokok bunga seperti Bunga Orkid, Bunga Kertas, dan Bunga Raya. Sekarang, rumah baharu Sofia kelihatan sungguh cantik.

Soalan:

1. Apakah jenis rumah yang dibeli oleh ayah Sofia?
2. Di manakah terletaknya rumah baru Sofia?
3. Apakah jenis pokok bunga yang ditanam oleh ibu Sofia?


3.Hari  Pertama ke Sekolah
       
        Rani berasa gementar pada hari ini. Hari ini ialah hari pertama Rani ke sekolah. Rani memakai pakaian seragam sekolah dengan kemas. Ayahnya menghantar Rani ke sekolah dengan menaiki kereta.
        Apabila tiba di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, orang telah ramai. Rani dengan ditemani oleh ayahnya terus masuk ke dewan untuk mendaftar. Kemudiannya, Rani dibawa ke Tahun Satu Bestari. Guru kelas Rani bernama Cikgu Zuraidah.
        Rani mendapat ramai kawan. Rakan sekelas Rani sangat baik dan peramah. Perasaan gementar Rani hilang sedikit demi sedikit.
        Setelah pulang ke rumah, Rani menceritakan pengalaman hari pertamanya ke sekolah kepada ayah dan ibunya.

Soalan:

1. Siapa yang menghantar Rani ke sekolah?
2. Apakah nama sekolah Rani?
3. Siapakah nama guru kelas Rani?



4.Gotong-royong
       
        Pada hari Sabtu lepas, sekolah Saiful telah mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan sekolah. Guru Besar menyuruh semua murid membawa alat-alat yang diperlukan seperti pongkes, baldi, parang, kain buruk, dan sebagainya.
        Tepat jam 8.00 pagi,semua guru dan murid sudah berkumpul di tapak perhimpunan. Penolong Kanan telah membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan diketuai oleh tiga orang guru. Ada yang mencuci longkang, memungut daun-daun kering, membakar sampah-sarap, dan menebas rumput. Selepas itu, mereka mengemas bilik darjah pula.
        Aktiviti gotong-royong itu tamat pada jam 11.00 pagi. Guru Besar berasa gembira kerana kawasan sekolah kelihatan bersih dan indah.


Soalan:

1. Bilakah gotong-royong diadakan di sekolah Saiful?
2. Pukul berapakah semua guru dan murid berkumpul di tapak perhimpunan?
3. Apakah kerja yang dilakukan oleh murid-murid?


5.Lawatan ke Rumah Orang-orang Tua.
     
        Sempena Hari Warga Tua, Sekolah Kebangsaan Sungai Rapat telah mengadakan lawatan ke Rumah Orang-orang Tua Sri Indah. Lawatan disertai oleh 35 orang murid beserta tiga orang guru pengiring.
        Mereka berpeluang untuk bermesra dengan penghuni rumah tersebut yang berjumlah 102 orang. Beberapa orang murid turut menghiburkan mereka dengan persembahan nyanyian dan tarian. Penghuni-penghuni di situ kelihatan terhibur.
        Cikgu Azizah telah menyampaikan sumbangan kepada penghuni-penghuni rumah orang tua itu. Sumbangan berupa wang dan pakaian itu didermakan oleh ibu bapa, guru-guru, dan orang ramai beberapa minggu sebelum lawatan diadakan. Lawatan itu telah meninggalkan banyak pengalaman manis dalam hati setiap murid serta guru.

Soalan:
1. Berapakah orang murid yang menyertai lawatan itu?
2. Berapakah penghuni yang tinggal di Rumah Orang Tua Sri Indah?
3. Apakah jenis sumbangan yang diberi oleh Cikgu Azizah?




6.Melawat Rakan di Hospital

        Pada petang Khamis yang lalu, Aznil  bersama rakan-rakannya telah pergi ke Hospital Besar Selayang. Mereka ke sana untuk melawat Haziq yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dua hari yang lepas. Aznil ketua kelas Tiga Marikh telah memberi buah tangan kepada ayah Haziq.
        Menurut ayah Haziq, Haziq telah dilanggar oleh sebuah kereta. Pada hari kejadian itu, Haziq dalam perjalanan pulang dari sekolah. Sebuah kereta yang dipandu laju telah terbabas dan melanggar Haziq. Haziq telah terbaling di atas jalan raya. Pemandu itu pula terus lari tanpa memberikan pertolongan.
        Mereka berasa simpati dengan nasib Haziq. Haziq mendapat kecederaan teruk di kepala dan kakinya pula terpaksa disimen kerana patah. Aznil dan rakan-rakannya berharap Haziq akan cepat sembuh dan kembali semula ke sekolah.

Soalan:

1. Di hospital manakah Haziq dirawat?
2. Siapakah Ketua Kelas Haziq?
3. Bagaimanakah kemalangan tersebut berlaku?

7.Menolong Jiran

        Pada suatu hari, Hafiz sedang berehat di tepi tingkap biliknya. Tiba-tiba, dia ternampak seorang pencuri sedang cuba memasuki rumah jirannya. Kebetulan jirannya, Encik Kuljit dan keluargannya pulang ke kampung. Tanpa berlengah lagi, Hafiz terus menelefon polis untuk melaporkan kejadian tersebut.
        Tidak berapa lama kemudian, beberapa orang anggota polis tiba di tempat kejadian. Mereka telah mengepung rumah itu. Polis telah berjaya memberkas pencuri yang cuba menceroboh masuk ke rumah Encik Kuljit. Pencuri itu telah digari dan dibawa ke balai polis.
        Keesokkan harinya, Encik Kuljit kembali ke rumahnya setelah dimaklumkan oleh pihak polis tentang kejadian itu. Beliau telah mengucapkan terima kasih kepada Hafiz atas pertolongan dan tindakan pantasnya.

Soalan:

1. Apakah yang ternampak oleh Hafiz?
2. Apakah yang dilakukan oleh Hafiz?
3. Siapakah yang mengucapkan terima kasih kepada Hafiz?


8.Kebersihan Tempat Tinggal

Encik Nordin, Encik Leong, dan Encik Sunil tinggal berjiran. Mereka tinggal di Kampung Sungai Rokam. Pada suatu malam, Encik Sunil dan keluargannya tidak dapat tidur lena kerana banyak nyamuk dan terhidu bau longkang yang sangat busuk.
Pada keesokkan harinya, Encik Sunil berbincang dengan Encik Nordin dan Encik Leong. Mereka telah sepakat untuk membersihkan kawasan tempat tinggal mereka. Tanpa membuang masa, mereka terus menjalankan tugas masing-masing. Encik Leong membersihkan longkang. Encik Sunil sedang sibuk memotong rumput di tepi pagar manakala Encik Nordin pula mengumpul sampah-sarap untuk dibakar.
Mereka berasa gembira kerana kawasan tempat tinggal mereka kini sudah bersih dan selesa.

Soalan:

1.    Di manakah Encik Nordin, Encik Leong, dan Encik Sunil tinggal?
2.   Mengapakah Encik Sunil dan keluarganya tidak dapat tidur lena?
3. Mengapakah mereka merasa gembira?


9.Keracunan Makanan

Cuaca pada hari ini sangat panas. Syamil berjalan pulang dari sekolahnya. Dia berasa sangat lapar dan dahaga. Tiba-tiba, dia ternampak sebuah gerai di tepi jalan.
Syamil terus membeli air sirap dan kuih karipap. Dia makan dengan cepat. Dia tidak mempedulikan keadaan gerai yang sangat kotor. Makanan di gerai itu juga tidak ditutup. Ada banyak lalat hinggap di atas kuih-muih yang dijual itu.
Setibanya di rumah, perut Syamil mula terasa sakit dan memulas-mulas. Dia memberitahu ibunya. Ibunya berasa bimbang lalu membawa Syamil ke klinik. Doktor memeriksa perut Syamil.
Menurut doktor, Syamil mengalami keracunan makanan. Doktor memberi ubat kepada Syamil. Dia juga menasihati Syamil supaya berhati-hati ketika membeli makanan atau minuman yang dijual di tepi jalan.

Soalan:
1. Apakah yang dimakan oleh Syamil?
2. Bagaimanakah keadaan makanan di gerai?
3. Apakah nasihat yang diberi oleh doktor kepada Syamil?



10.Hari Ibu

Pada 8 Mei yang lalu, keluarga Selvi telah menyambut Hari Ibu. Hari Ibu disambut untuk menunjukkan rasa terima kasih atas pengorbanan dan jasa ibu.
Pada hari itu, ayah Selvi telah membeli sebiji kek coklat untuk ibunya manakala Selvi dan kakak membeli hadiah istimewa untuk ibu mereka. Apabila hadiah itu dibuka, ibu Selvi berasa terkejut melihat sebuah beg tangan berjenama ‘Bonia’. Ibunya berasa sungguh gembira.
Ibu Selvi mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua anaknya. Selvi dan kakaknya berjanji akan mendengar kata dan nasihat daripada ibu mereka. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa ibu.

Soalan:

1. Bilakah Hari Ibu disambut?
2. Apakah tujuan menyambut Hari Ibu?
3. Apakah yang dihadiahkan oleh Selvi dan kakaknya kepada ibunya?


11.Hari Guru

Pada 16 Mei setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Guru. Sambutan Hari Guru bertujuan untuk mengenang jasa dan pengorbanan para guru yang mendidik dan membimbing murid-murid menjadi manusia yang berguna.
Sekolah saya juga tidak ketinggalan menyambut Hari Guru. Pada hari itu, semua murid berkumpul di dewan bersama dengan guru-guru. Selepas lagu ‘Negaraku’ dan lagu sekolah dinyanyikan, guru besar telah membacakan perutusan daripada Menteri Pelajaran Malaysia. Selepas itu, guru-guru menyanyikan lagu ‘Kami Guru Malaysia’.
Seterusnya disusuli dengan pertunjukan pentas oleh murid-murid seperti nyanyian, tarian, lakonan, dan mendeklamasikan sajak. Para guru dam murid terhibur dengan persembahan –persembahan tersebut.

Soalan:

1. Bilakah Hari Guru disambut?
2. Apakah tujuan menyambut Hari Guru?
3. Apakah tajuk lagu yang dinyanyi oleh semua guru?


12.Majlis Hari Jadi

Hari ini ialah hari jadi Rafiqah yang kesembilan. Ibunya telah mengadakan satu majlis untuk meraikan hari jadinya. Ibu Rafiqah bertungkus-lumus menyediakan pelbagai juadah. Ramai kawannya dijemput ke majlis itu.
Pada petang itu, Rafiqah memakai baju kurung yang berwarna biru. Rafiqah kelihatan cantik sekali. Di atas meja pula tersedia makanan yang lazat-lazat seperti kek, mi goreng, rendang ayam, biskut, dan gula-gula. Semua kawan Rafiqah datang dengan membawa hadiah.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Selamat Hari Jadi’ oleh kawan-kawannya. Mereka bertepuk tangan sebaik sahaja Rafiqah meniup sembilan batang lilin di atas kek itu.
Selepas itu, semua tetamu dijemput menjamu selera. Rafiqah sangat gembira kerana mendapat banyak hadiah daripada keluarga dan kawan-kawannya.

Soalan:
1. Berapakah umur Rafiqah?
2. Apakah yang dipakai oleh Rafiqah pada petang itu?
3. Apakah makanan yang disediakan dalam majlis hari jadi Rafiqah?


13.Hari Kebangsaan

Hari ini saya bangun awal pagi. Bapa membawa saya ke Dataran Merdeka untuk melihat sambutan Hari Kebangsaan. Pada 31 Ogos setiap tahun, negara kita menyambut Hari Kebangsaan. Pada hari tersebut juga, semua rumah dan bangunan akan memasang bendera.
Pelbagai acara menarik diadakan sempena Hari Kebangsaan seperti pertunjukan konsert, pancaragam, tarian, dan pertunjukan bunga api. Selain acara kebudayaan, perarakan perbarisan juga turut diadakan.
Ramai orang mengibarkan Jalur Gemilang. Saya berasa sungguh gembira kerana dapat menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan.

Soalan:

1. Bilakah Hari Kebangsaan disambut?
2. Apakah acara yang diadakan sempena Hari Kebangsaan?
3. Apakah yang dikibarkan oleh ramai orang?





14.Pengalaman di Pasar Malam.

Pada suatu petang, ibu Rafi mengajaknya pergi ke pasar malam. Pasar malam itu terletak berdekatan dengan rumah Rafi.
Setibanya di pasar malam, Rafi melihat ramai orang sibuk membeli barang. Keadaan di pasar malam itu sungguh sesak dan riuh-rendah. Terdapat banyak barang yang dijual di sana, antaranya ialah sayur-sayuran, buah-buahan, kuih-muih, pakaian dan banyak lagi.
Menjelang malam, makin ramai orang yang datang. Para peniaga sibuk melayan para pelanggan yang datang ke gerai mereka. Ibu Rafi membeli banyak barang keperluan dapur seperti cili, bawang, dan rempah. Rafi juga membeli air soya kegemarannya. Selepas membeli barang-barang mereka pun pulang.

Soalan:

1. Di manakah terletaknya pasar malam?
2. Apakah jenis barangan yang dijual di pasar malam itu?
3. Apakah yang dibeli oleh Rafi?



15.Berkelah di Teluk  Batik.

Pada hujung minggu yang lalu, Shamilah dan keluarganya telah pergi berkelah. Mereka berkelah di Pantai Teluk Batik, Lumut, Perak. Mereka menaiki kereta ke sana.
Sebaik sahaja sampai di sana , Shamilah dapati ramai orang yang sedang mandi-manda di laut. Shamilah menurunkan barang-barang dan membentang tikar. Adiknya pula mengangkat bekalan nasi dan kuih-muih yang dimasak oleh ibunya.
Shamilah berasa tidak sabar untuk berenang di laut. Shamilah mengajak ayahnya ke laut untuk mandi. Adiknya pula leka membina istana pasir. Setelah penat, mereka berehat dan makan nasi serta kuih yang dibawa dari rumah.
Selepas makan, Shamilah mengajak adiknya mandi ke laut. Ibu Shamilah menasihati mereka supaya tidak mandi di tempat yang dalam. Setelah puas mandi, mereka pun pulang dengan hati yang gembira.

Soalan:

1. Di manakah Shamilah dan keluarganya berkelah?
2. Apakah yang dilakukan oleh Shamilah sebaik sahaja sampai di pantai?
3. Apakah nasihat diberi oleh ibu Shamilah?

Karangan Jenis Biografi (THP1)


Isi kandungan:

1)           Diri saya
2)          Ayah saya
3)          Kawan baik saya
4)          Guru kelas saya
5)          Datuk saya
6)          Nenek saya
7)          Ibu saya
8)          Kakak saya
9)          Pak Cik Man Seorang Tukang Kebun
10)       Hijjas Kasturi


Karangan Jenis Biografi
1)       Diri saya
Nama saya Tan Sang Kui. Saya dilahirkan pada 31 Januari 1996. Kini, saya berusia 12 tahun. Saya merupakan anak bongsu dalam sebuah keluarga yang sederhana. Saya mempunyai seorang abang dan dua orang kakak.

        Bapa saya seorang mekanik. Ibu saya pula seorang tukang jahit. Saya amat menyayangi mereka. Saya berasa amat bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga sederhana, tetapi bahagia.

        Sekarang saya belajar dalam tahun enam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa. Saya pergi ke sekolah dengan menunggang basikal. Setiap hari saya membawa bekal yang disediakan oleh ibu ke sekolah.

Pada masa lapang, saya suka  memancing. Selain itu, saya juga suka mendengar radio dan membaca buku. Saya tidak suka membazir masa dan dengan melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah.

Saya bercita-cita menjadi peguam yang bertauliah. Oleh itu, saya harus rajin belajar selalu supaya tidak menyesal kemudian hari.

Soalan:

1)           Bilakah Tang Sang Kui dilahirkan?

2)          Apakah pekerjaan bapa Tang Sang Kui?

3)          Apakah aktiviti yang dilakukan oleh Tang Sang Kui pada masa lapang?


2) Ayah saya
Nama saya Thiban. Saya mempunyai seorang ayah. Nama ayah saya ialah Suman a/l Arvin. Umur ayah saya 39 tahun. Ayah saya mempunyai lima orang adik beradik. Ayah saya anak yang ketiga. Ayah saya seorang guru. Ayah saya seorang yang penyayang. Ayah selalu bergurau dengan saya dan adik-adik saya. Hobi ayah saya pula ialah menulis buku. Ayah saya banyak menulis buku cerita. Saya sayang akan ayah saya.

Soalan:

1) Siapakah nama ayah Thiban?

2) Berapakah umur ayah Thiban?

3) Apakah hobi ayah Thiban?


3) Kawan baik saya
Nama saya Ros. Saya mempunyai seorang kawan baik. Marina ialah kawan baik saya. Rambutnya panjang dan kulitnya cerah. Kami belajar di kelas yang sama. Marina tinggal di Taman Sejahtera. Dia ada empat orang adik-beradik. Dia anak yang kedua. Bapa Marina bekerja sebagai ahli bomba. Ibu Marina pula seorang suri rumah. Saya suka berkawan dengan Marina. Dia rajin dan baik hati. Dia peramah dan tidak sombong. Kami selalu belajar bersama-sama.


Soalan:

1) Siapakah nama kawan baik Ros?

2) Di manakah Marina tinggal?

3) Apakah pekerjaan ibu dan ayah Marina?


4) Guru kelas saya
Nama saya Raju . Nama guru kelas saya ialah Cikgu Melvin Ho. Beliau berbangsa cina dan berumur 40 tahun. Beliau seorang yang tinggi. Beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris. Beliau seorang guru yang garang dan tegas tetapi baik hati. Beliau sangat mengambil berat akan pelajaran murid-muridnya. Saya sangat menghormati Cikgu Melvin Ho. Saya selalu memberikan perhatian semasa beliau mengajar di dalam kelas.

Soalan:

1) Siapakah nama guru kelas Raju?

2) Apakah bangsa guru kelas Raju?

3) Bagaimanakah sikap guru kelas Raju?


5) Datuk saya
Nama saya Nani. Saya mempunyai seorang datuk. Nama datuk saya ialah Ishak bin Zakaria. Umur datuk saya ialah 60 tahun. Datuk saya seorang pesara guru. Dia tinggal dengan nenek saya di kampung Buluh Kasap. Rambut datuk saya sudah beruban, tetapi dia masih sihat dan kuat. Datuk saya seorang yang penyayang. Dia selalu menasihati saya supaya rajin belajar. Saya sayang akan datuk saya.


Soalan:

1) Berapakah umur datuk Nani?

2) Apakah pekerjaan datuk Nani?

3) Di manakah datuk Nani tinggal?


6) Nenek saya
Nama saya Roslan. Saya mempunyai seorang nenek. Nama nenek saya ialah Fatimah binti Ibrahim. Umur nenek saya 55 tahun. Nenek saya seorang suri rumah. Dia tinggal dengan datuk saya. Nenek saya pandai menjahit. Dia menjahit baju kurung dan alas meja. Jahitannya kemas dan cantik. Nenek saya juga seorang yang penyayang. Nenek selalu menasihati saya supaya berbuat baik. Saya sayang akan nenek saya.


Soalan:

1) Siapakah nama nenek Roslan?

2) Berapakah umur nenek Roslan?

3) Apakah kemahiran nenek Roslan?


7) Ibu Saya.
Setiap manusia di dunia ini mempunyai seorang ibu. Begitu juga dengan saya. Nama saya Aidah. Ibu saya bernama Siti Maisarah binti Kassim. Usianya sekarang ialah 32 tahun. Beliau dilahirkan di kampung Air Tawar, Kota Tinggi, Johor. Tanggal 13 Februari 1970 beliau dilahirkan.

Ibu saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Air Tawar selama enam tahun. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kota Tinggi selama lima tahun. Keputusan peperiksaannya cemerlang telah melayakkannya menempatkan diri di Maktab Perguruan Pengkalan Chepa, Kelantan. Pada tahun 1990, bermulalah kerjaya beliau sebagai seorang pendidik di Sekolah Kebangsaan Durian Guling, Kuala Terengganu.

Pada tahun 1996 hingga sekarang, ibu bertugas di Sekolah Kebangsaan Sri Serdang. Ibulah insan yang melahir dan membesarkan saya dan adik-adik sejak kecil. Beliau seorang yang pandai mengambil hati anak-anak. Beliau tidaklah garang walaupun pada wajahnya menampakkan kebengisan. Ibu saya seorang yang lemah- lembut dan penyabar. Walaupun beliau dalam kepenatan selepas pulang mengajar, tetapi beliau tidak pernah menjadikan kami tempat melepaskan kemarahannya.

Saya merasakan amat bertuah memiliki seorang ibu yang penyayang dan amat memahami. Akan kukenang dan hargai jasamu ibu sepanjang hayatku. Engkaulah ratu hatiku.

Soalan:

1)   Siapakah nama ibu Aidah?

2)  Di manakah ibu Aidah dilahirkan?

3)  Mengapakah Aidah merasa bertuah memiliki ibu seperti ibunya?

4)   
8)  Kakak saya.

Nama saya Yati. Saya mempunyai seorang kakak yang bernama Mazni binti Hashim. Dia berumur 22 tahun dan dilahirkan pada 31 Oktober 1980 di Hospital Besar Kota Kinabalu.

Kakak saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Labawang. Kemudian dia menyambung pelajarannya ke Sekolah Menengah Sri Medan selama 5 tahun. Kakak saya seorang yang pintar. Dia telah muncul sebagai pelajar terbaik di sekolahnya dan telah berjaya ke menara gading pada tahun 1998. Kini dia masih menyambung pendidikannya di Universiti Malaya dalam jurusan bahasa peringkat Sarjana Muda.

Kakak saya bercita-cita tinggi. Dia ingin menjadi seorang pensyarah suatu hari nanti. Sifat yang paling saya suka pada dirinya ialah dia seorang yang baik hati, tegas dan penyayang. Apabila dia lama tidak pulang ke kampung, kami akan merinduinya. Telefonlah yang menjadi penghubung melepaskan kerinduan. Kakak saya selalu memberi nasihat kepada saya supaya belajar bersungguh-sungguh agar dapat mengikut jejak langkahnya.

Semua keluarga menyenangi dan menyayangi kakak kerana sikapnya yang baik hati, tidak sombong, dan ringan tulang. Saya senang mendampinginya.

Soalan:

1)   Siapakah nama kakak Yati?

2)  Apakah cita-cita kakak Yati?

3)  Apakah nasihat kakak Yati kepadanya?


9) Pak Cik Man Seorang Tukang Kebun.

Pak Cik Man seorang tukang kebun. Dia berkhidmat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Min sejak berusia 24 tahun. Kini usianya telah mencecah 50 tahun.

Pagi-pagi lagi Pak Cik Man sudah sampai di sekolah. Di sekolah dia akan memulakan tugasnya dengan membuka kunci-kunci pagar, pejabat, bilik guru, dan kelas. Selepas itu, dia akan menyiram pokok-pokok bunga.

Walaupun Pak Cik Man telah lanjut usia, tetapi beliau masih lagi kuat bekerja. Mengikut kata seorang kerani di sini, beliau jarang sekali mengambil cuti sepanjang perkhidmatannya.

Walaupun tugasnya telah selesai, saya jarang sekali melihat Pak Cik Man berehat. Kadang-kadang dia bertukang membetulkan kerusi dan meja yang rosak. Ada masanya dia mengecat dinding-dinding sekolah yang kotor. Selain itu, Pak Cik Man juga suka berbual-bual dengan kami. Malah, dia selalu menasihatkan kami agar belajar rajin-rajin.

Kami bangga mempunyai seorang tukang kebun yang rajin. Murid-murid juga senang dengan sikap Pak Cik Man. Kami berharap Pak Cik Man akan terus berkhidmat di sekolah ini sehingga bersara.


Soalan:

1) Di manakah Pak Cik Man berkhidmat sebagai tukang kebun?

2) Apakah tugas-tugas yang dilakukan setiap pagi oleh Pak Cik Man?

3) Apakah yang selalu dilakukan olehnya pada waktu rehat?


10) Hijjas Kasturi

Hijjas Kasturi merupakan arkitek yang terkenal di Malaysia. Beliau dilahirkan pada 26 September 1936 di Singapura. Beliau mendapat pendidikan awal di Kolej Raffles dan melanjutkan pengajian di Universiti Adelaide dan Universiti Melbourne, Australia.

Hijjas memulakan kerjayanya sebagai arkitek pada tahun 1956. Pada tahun 1977, beliau telah menubuhkan Hijjas Kasturi Associates.

Beliau bergiat cergas dalam bidang seni bina di Malaysia dan menjadi ahli korporat yang berjaya. Reka bentuk bangunan yang diilhamkannya unik dan menarik. Antaranya bangunan Tabung Haji, Menara Alor Setar, Menara Telekom dan Pusat Konvensyen Putrajaya.

Soalan:

1)   Siapakah Hijjas Kasturi?

2)  Bilakah Hijjas Kasturi dilahirkan?

3)  Bangunan apakah yang diilhamkan oleh Hijjas Kasturi?